Kolej E-Access International College
Kolej E-Access International College sering dipromosikan sebagai institusi pendidikan kemahiran yang terbaik, dengan pendekatan pembelajaran 70% amali dan 30% teori. Terletak di Kulai, Johor, nama kolej ini kedengaran megah dan menjanjikan masa depan yang cerah. Namun, di sebalik nama gah tersebut, terdapat pelbagai masalah dalaman yang mencetuskan kekeliruan dan memburukkan pengalaman para pelajar. Situasi ini telah menjejaskan masa depan ramai pelajar yang menaruh harapan tinggi terhadap bidang kemahiran.
Saya adalah kakak kepada seorang pelajar yang mengikuti program Electrical Technician di kolej ini. Adik saya berasal dari latar belakang madrasah dan tidak memiliki sijil SPM. Dia hanya berbekalkan sijil berhenti madrasah dan keazaman untuk membina masa depan yang lebih baik. Ketika mengetahui bahawa Kolej E-Access menawarkan program diploma elektrik tahap 4 (single tier) yang tidak memerlukan sijil SPM, dia begitu teruja untuk mendaftar.
Pada awal pengajian, adik saya berasa gembira dan bersemangat. Semasa orientasi, dia seronok berkenalan dengan rakan-rakan baru. Dia juga rajin hadir ke kelas dan sentiasa menepati masa. Namun, keadaan berubah apabila dia mula menghadiri kelas yang diajar oleh seorang pengajar bernama Encik Zahid.
Pengalaman Pahit dalam Kelas
Pada permulaan kelas, Encik Zahid memarahi adik saya dengan lantang kerana gagal menyiapkan tugasan pada waktu yang ditetapkan. Hari demi hari, sikap sebenar Encik Zahid semakin terserlah. Beliau sering memaki, menengking, dan menghina pelajar yang lemah, termasuk adik saya. Sebaliknya, beliau melayan pelajar yang lebih cerdik atau mengikuti arahannya dengan baik. Sikap pilih kasih ini mencetuskan ketidakadilan di dalam kelas.
Antara kata-kata kasar yang pernah dihamburkan Encik Zahid kepada adik saya ialah makian seperti “fck*” dan penghinaan terhadap latar belakang madrasahnya, seolah-olah beliau memperlekehkan pendidikan agama. Malah, suara Encik Zahid sengaja dilantangkan ketika menengking adik saya, menyebabkan semua pelajar lain mendengar dan turut merendahkannya.
Sikap ini bukan sahaja merosakkan semangat adik saya, malah mempengaruhi rakan-rakan sekelas. Ada yang mula meniru tingkah laku Encik Zahid, membuli pelajar-pelajar yang lemah sehingga mereka kehilangan motivasi untuk hadir ke kelas.
Pengabaian Aduan oleh Pihak Atasan
Apabila perkara ini dibawa ke perhatian pihak atasan seperti Miss Amy dan JKK (Jawatankuasa Kolej), tindakan yang diharapkan tidak berlaku. Sebaliknya, pihak kolej berpakat dengan pelajar-pelajar tertentu untuk memutar belit cerita dan menekan semula pelajar-pelajar yang membuat aduan. Situasi ini membuatkan adik saya berasa tidak dilindungi dan lebih tertekan.
Akibat dan Masa Depan yang Gelap
Akhirnya, tekanan yang melampau menyebabkan adik saya tidak dapat meneruskan pengajian dalam program diploma elektrik tahap 4. Dia terpaksa berhenti, meskipun pinjaman pengajian sebanyak RM46,000 telah diambil. Persoalannya kini, apakah nilai pendidikan yang diperolehi? Adakah pinjaman sebesar itu sia-sia semata-mata?
Comments
Post a Comment